Search

Liga Super: Mujagic kecewakan bekas pasukan di Likas

September 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic membuatkan Sang Badak kecewa apabila menjaring dua gol untuk Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Mujagic yang kini bersama Kuching City menjaring gol pada minit keempat dan ke-21 untuk membolehkan pasukan pelawat itu menewaskan tuan rumah 0-2.

Kedua-dua jaringan Mujagic berpunca daripada kesilapan pemain Sabah yang gagal mengawal kehadirannya, selain terlepas hantaran ke arahnya yang kemudian tidak mensia-siakan peluang untuk membuat jaringan.

Dua gol itu meletakkan Kuching City di kedudukan selesa sehingga berakhir perlawanan babak pertama, termasuk tiga minit masa kecederaan, malah berlarutan sehingga tamat 90 minit perlawanan apabila Sabah gagal mencipta sebarang jaringan.

Memasuki babak kedua, Sabah mengatur strategi serangan pada permulaan babak, namun berdepan kesukaran berikutan halangan pertahanan lawan yang diperkuatkan bekas pertahanan Sang Badak sendiri, Gabriel Peres yang kini bersama Kuching City.

Penyerang Sabah, Darren Lok juga mencipta peluang baik pada minit ke-52 untuk mencipta jaringan, namun sepakannya dapat dihalang penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli.

Sang Badak juga mendapat peluang menjaringkan gol menerusi cubaan sepakan jarak jauh Miguel Angel Garrido Cifuentes pada minit ke-72, namun melepasi palang.

Sebaliknya, Mujagic sekali lagi hampir menjaringkan gol ketiga untuk dirinya dan Kuching City pada malam ini, namun tuan rumah bernasib baik cubaan pada minit ke-72 itu ditidakkan oleh palang gol.

Sabah hanya mampu menghalang pasukan lawan daripada menambah jaringan pada separuh masa kedua dan terpaksa akur tewas di tangan pasukan jiran dalam aksi Derby Borneo kali ini dengan kedudukan 0-2 pada akhir perlawanan. – Info X