RANAU: Daerah ini semakin menjadi pilihan peniaga luar untuk mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pembukaan pelbagai premis baharu bagi menarik pelanggan setempat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu memperlihatkan Ranau semakin berkembang sebagai daerah yang berpotensi besar dalam sektor
perniagaan seiring kemajuan ekonomi dan kerancakan pembangunannya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata, keyakinan pengusaha tempatan dan luar daerah memilih Ranau sebagai lokasi perniagaan turut menunjukkan daerah ini semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan pelabur dan usahawan.
“Pemilihan daerah ini sebagai lokasi perniagaan membuktikan Ranau mempunyai ekonomi yang baik, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong.
“Pada masa sama, pengusaha perlu memastikan mutu produk serta perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan,” katanya ketika merasmikan pembukaan Kopi Saigon x Nasi Kak Wok Jee Harris di Pekan Ranau, pada Sabtu.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, aspek perkhidmatan perlu diberikan keutamaan kerana layanan yang baik kepada pelanggan menjadi antara faktor penting dalam memastikan sesebuah perniagaan terus mendapat kepercayaan pengguna.
Katanya, selain perkhidmatan, penyediaan makanan yang memenuhi standard ditetapkan turut penting bagi memberikan pengalaman serta nilai yang sewajarnya kepada pelanggan.
Beliau turut berharap kehadiran pelbagai perniagaan berjenama di daerah ini dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berinovasi, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang perniagaan di daerah lain di Sabah.
“Oleh yang demikian, pertambahan aktiviti komersial di Ranau bukan saja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya. – Info X