Search

Bekalan simen terganggu, dijangka pulih pertengahan September

September 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) memaklumkan berlaku gangguan bekalan simen di pasaran ketika ini berikutan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang simen CIS di Teluk Sepangar.

Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf, berkata selain kerja penyelenggaraan, kelewatan ketibaan kapal yang membawa bahan mentah klinker dan simen pukal turut menyumbang kepada gangguan bekalan di pasaran.

Katanya, kelewatan itu berlaku berikutan keadaan cuaca yang kurang baik di pelabuhan kilang pembekal bahan berkenaan.

“Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang berjaya disiapkan semalam, 4 September 2026, dan CIS kini sedang berusaha meningkatkan semula pengeluaran serta bekalan simen ke pasaran.

“Bekalan simen dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, CIS turut meningkatkan perolehan bekalan klinker dan simen pukal bagi memastikan permintaan tinggi terhadap bahan binaan itu dapat dipenuhi.

Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan bekalan simen dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna dan pemain industri pembinaan di Sabah.

CIS turut memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak sepanjang tempoh pemulihan bekalan berkenaan. – Info X