PUTRAJAYA: Tiada proses pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas susulan keadaan jerebu setakat ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan anjal termasuk membenarkan pelaksanaan pengajian dalam talian bagi memastikan proses pembelajaran kekal dilaksana.
“Kita sentiasa memantau keadaan jerebu khususnya di Sabah dan Sarawak yang dilaporkan terjejas lebih serius.
“Setakat ini tiada pengajian yang terjejas kerana jika mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anjuran KPT dengan kerjasama Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.
Zambry berkata KPT juga telah memaklumkan kepada semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti supaya sentiasa memantau perkembangan jerebu di kawasan masing-masing.
Beliau berkata sebarang tindakan berkaitan proses pembelajaran akan dilaksanakan berdasarkan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kita mengikuti perkembangan ini dan menerima arahan daripada jabatan berkaitan serta akan memastikan setiap proses pembelajaran pelajar berteraskan kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Setakat 8 pagi ini, Samarahan menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 226.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, 24 kawasan pada tahap sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.– BERNAMA