KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilaporkan mengalami luka di kepala dan terpaksa menerima jahitan selepas terjatuh akibat pengsan ketika menunaikan solat, semalam.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Ketua Merinyu Projek Kerajaan Negeri itu, berkata akibat keadaan itu, beliau kini dinasihatkan oleh doktor supaya berehat.
Bagaimanapun, katanya keadaannya ketika ini stabil, tapi masih di bawah pemantauan doktor yang merawatnya.
“Saya mengalami sakit diarrhea selama tiga hari. Ketika solat semalam, saya tiba-tiba berasa pening lalu pengsan dan terjatuh. Kepala saya terkena meja di hadapan dan mengalami luka yang memerlukan jahitan.
“Alhamdulillah, rawatan telah selesai dan keadaan saya kini stabil. Atas nasihat doktor, saya perlu berehat dan berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari. Buat masa ini, kunjungan juga tidak digalakkan supaya saya dapat berehat sepenuhnya.
“Terima kasih atas doa, keprihatinan dan kefahaman semua,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, bekas ADUN Usukan itu memohon maaf jika ada urusan atau pertemuan yang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
“Terima kasih atas segala doa, keprihatinan dan ingatan daripada semua. Insya-Allah, semoga dipermudahkan dan diberi kesihatan untuk kembali seperti biasa,” katanya. – Info X