Search

Penampang Preppies pertahan gelaran juara kejohanan renang

September 7, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Penampang Preppies Swimming Club (PPSC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Renang Penampang Preppies edisi ke-16 di Kompleks Sukan Penampang yang berlangsung selama dua hari pada 4 dan 5 September lalu.

Juara bertahan itu mempamerkan penguasaan hebat dengan mengumpul 31 pingat emas, 24 perak dan 34 gangsa sepanjang kejohanan berkenaan.

Kejohanan itu turut mencatat penyertaan tertinggi dengan menghimpunkan 364 perenang muda daripada 14 kelab dari Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala KupiKupi FM bertindak selaku radio rasmi kejohanan.

Kelab Renang SSA Sandakan pula muncul naib juara selepas meraih 22 emas, 18 perak dan 18 gangsa, manakala Topspeed Swimming Club dari Miri menduduki tempat ketiga dengan 13 emas dan dua perak.

Saingan turut menyaksikan beberapa perenang muda menyerlah dengan memperbaharui rekod kejohanan, selain dinobatkan sebagai perenang terbaik mengikut kategori umur masing-masing.

Bagi kategori lelaki lapan tahun ke bawah, Finnegan Mason Felix Shymund dari Daniel & Iqa Swimming Academy muncul perenang terbaik selepas meraih dua emas dan tiga perak.

Perenang SSA Sandakan, Shane Lee Xio Jian mengungguli kategori sembilan tahun dengan lapan emas dan dua perak, manakala rakan sepasukannya, Ng Man Sing, memenangi kategori 10 tahun selepas meraih dua emas, tiga perak dan lima gangsa serta mencipta rekod baharu acara 50 meter kuak dada.

Edric Connor Liew Kett dari PPSC dinobatkan perenang terbaik kategori 11 tahun menerusi sembilan emas dan satu gangsa, selain mencipta rekod kejohanan dalam acara 100 meter rampaian individu.

Kategori 12 tahun pula menjadi milik Skye Ye Xiang Teo dari Blue Dolphin Swim Club yang membawa pulang sembilan emas dan satu perak serta memperbaharui rekod acara 100 meter gaya bebas.

Bagi kategori perempuan, Raelyn Sim Yan Xuan dari Topspeed Swimming Club muncul perenang terbaik lapan tahun ke bawah dengan empat emas dan satu perak, selain mencipta rekod baharu acara 25 meter kuak lentang.

Chanelle Ezra Teo dari Persatuan Akuatik Labuan menguasai kategori sembilan tahun dengan tujuh emas dan dua perak, manakala Rachel Sim Qi Yun dari Topspeed Swimming Club meraih sembilan emas serta satu perak untuk menjuarai kategori 10 tahun.

Perenang Sea Dragon Swimming Club, Esmeralda Ava Lee dinobatkan terbaik kategori 11 tahun selepas mengutip enam emas, tiga perak dan satu gangsa.

Aurora Tullynau Battistessa pula melengkapkan kejayaan PPSC apabila muncul perenang terbaik kategori perempuan 12 tahun dengan dua emas dan dua perak.

Jawatankuasa penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penaja, ibu bapa dan pegawai yang menyumbang kepada kejayaan kejohanan itu dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat renang muda dari Sabah dan negeri lain. – Info X