Search

Kerajaan teliti penempatan sementara pelajar terjejas kebakaran Numbak

September 7, 2026

BERNAMA

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek akan bersama-sama meneliti cadangan untuk menempatkan sementara pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Numbak baru-baru ini di asrama sekolah yang mempunyai kekosongan.

Mustapha berkata cadangan awal itu adalah antara langkah bagi memastikan proses pembelajaran pelajar terlibat tidak terganggu, khususnya bagi mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar tingkatan enam.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah diminta mengenal pasti keperluan pelajar terbabit, termasuk pilihan penempatan di asrama sekolah lain sekiranya terdapat kekosongan.

“Itu antara yang dicadangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Jadi, itu yang saya kata kena teliti, cari bagaimana untuk mereka diberi keutamaan supaya proses pembelajaran mereka tidak terganggu.

“Kami akan fokus untuk bantu pelajar ini supaya ada suasana yang kondusif untuk mereka meneruskan pembelajaran,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu hari ini.

Mustapha berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama kerana mereka memerlukan persekitaran yang lebih kondusif untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian awal, terdapat pelajar terjejas yang masih tinggal di khemah di lokasi kejadian serta di masjid, justeru keadaan itu perlu diberi perhatian bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas.

Pada majlis berkenaan, sebanyak sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam dan 129 pelajar Sekolah Kebangsaan Kebagu menerima bantuan kelengkapan sekolah.

Mustapha berkata berdasarkan rekod JPN Sabah, 410 pelajar daripada lapan sekolah terjejas akibat kebakaran berkenaan.

Setiap pelajar terjejas akan menerima bantuan kewangan menerusi Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kecemasan bernilai RM300 selain beg dan alat tulis.

Pada 30 Ogos lepas, kebakaran di Kampung Numbak memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air, dengan tiga mangsa ditemukan rentung.– BERNAMA