KUCHING: Kos sara hidup adalah antara faktor yang mempengaruhi keputusan golongan muda untuk berkahwin dan mempunyai anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata golongan muda kini lebih berhati-hati serta membuat perancangan dari segi kemampuan ekonomi sebelum berkahwin dan membina keluarga.
“Terdapat golongan yang memilih untuk tidak mempunyai anak kerana belum bersedia dari segi ekonomi. Mereka tidak boleh disalahkan kalau mereka tidak bersedia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan melalui program SmartStart membuat persediaan menyeluruh kepada bakal pasangan, termasuk pengurusan ekonomi dan kewangan, selain bantuan kepada pasangan yang berdepan masalah kesuburan menerusi program Rawatan Persenyawaan In-Vitro (IVF) dan rawatan permanian beradas (IUI).
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada keharmonian rumah tangga selepas berkahwin menerusi pelbagai program termasuk pendekatan “bulan madu kali kedua” bagi pasangan dalam tempoh lima tahun perkahwinan.
“Bulan madu kali kedua bukan bermakna ia untuk berkahwin kali kedua, namun pelbagai aktiviti menerusi program itu membantu pasangan kembali mendekati antara satu sama lain dan mengukuhkan hubungan rumah tangga,” katanya.
Beliau ketika mengulas mengenai usaha mendekati golongan yang memerlukan berkata kerajaan berprinsip untuk menemui orang ramai yang memerlukan di lapangan bagi memperkenalkan perkhidmatan kebajikan yang ditawarkan di bawah kementerian itu menerusi program seperti Kembara Kasih. — BERNAMA