SANDAKAN: Seorang lelaki cedera selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar dalam kejadian di sebuah kilang pemprosesan ikan, di Batu 3, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun terpaksa menahan kesakitan sebelum pasukan bomba tiba untuk melepaskan jarinya menggunakan peralatan khas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.11 petang.
Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejauh dua kilometer.
“Pasukan bomba tiba pada 2.14 petang dan menjalankan operasi menyelamat dengan melepaskan jari mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Mangsa mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jimmy berkata, mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.25 petang selepas keadaan di lokasi disahkan terkawal. – Info X