Search

Dua rumah musnah dalam kebakaran

September 7, 2026

Info X Reporters

SIPITANG: Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ranau – Ranau, di sini, petang tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dan sebuah lagi rumah tidak kekal yang masing-masing musnah 95 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.37 petang.

Katanya, enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.

“Pasukan bomba tiba pada 5.53 petang sebelum menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan tiga pancutan.

“Api berjaya dikawal pada 6.20 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.45 malam selepas kerja pemadaman dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran berulang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X