KUALA LUMPUR: Sebanyak 989 pelajar daripada 25 sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dikenal pasti berdepan masalah kehadiran ke sekolah dengan isu pengangkutan antara faktor utama yang direkodkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata sebagai permulaan, sebanyak 437 pelajar di enam sekolah akan dibantu melalui Kemudahan Pengangkutan Pelajar ke Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak industri menerusi Persatuan Pengusaha Bas Mini Labuan.
Hannah berkata kerjasama berkenaan bertujuan memastikan masalah pengangkutan tidak terus menjadi penghalang kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.
“Ada anak yang mahu ke sekolah. Yang menghalang bukan cita-cita tetapi perjalanan untuk sampai ke tempat mereka membina masa depan.
“Masa depan mereka tidak sepatutnya tersekat hanya kerana sukar untuk sampai ke sekolah,” katanya menerusi hantaran Facebook. — BERNAMA