LAHAD DATU: Dalam usaha mengekang elemen jenayah rentas sempadan membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus giat mengkoordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang menerusi Operasi Bersepadu (OB).
Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan operasi OB mensasarkan beberapa lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan bermula pada 25 Januari dan berakhir semalam.

“Operasi ini bertujuan bagi mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan penempatan PATI di Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh tujuh hari operasi OB terhadap 410 jumlah rumah/premis di 12 lokasi dengan membabitkan sejumlah 772 pemeriksaan fizikal terhadap orang, seramai 26 PATI ditahan.

“Semua PATI yang ditahan mengikur peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, menerusi OB juga sejumlah rampasan bernilai RM16,951 dihasilkan dengan batang kayu disyaki tangar bulat yang menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi selain barangan terkawal yang lain.
“Selain itu, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ESSCOM menggesa seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072. – Info X