Search

Usaha tangani masalah infrastruktur dipergiat, RM1 bilion untuk bekalan air – KM

September 8, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Kerajaan negeri terus mempergiat usaha menangani masalah infrastruktur yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, termasuk berkaitan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata lebih RM1 bilion kini dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air di seluruh Sabah.

“Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.

“Kita ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) di Jalan Bubul, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, masalah bekalan air bukan isu baharu atau hanya berlaku di bawah kerajaan semasa, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan tindakan berterusan.

“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

“Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa yang dia buat waktu dia berkuasa, tidak ada apa-apa. Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya. – Info X