KOTA BELUD: Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu dalam operasi di Kampung Pintasan, di sini, hari ini.
Suspek tempatan berusia 36 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud ketika menjalankan Op Tapis Dadah kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, dadah seberat 5.09 gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM509.

“Ujian saringan awal terhadap bahan berkenaan menunjukkan keputusan positif methamphetamine.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan dan kemungkinan pembabitan individu lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya. – Info X