KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC diingatkan supaya kekal tenang, berdisiplin dan yakin jika mahu menyingkirkan Selangor FC pada aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor, malam ini.
Nasihat itu dilontarkan Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido, sebagai petua berdepan skuad Gergasi Merah yang dijangka bermain lebih garang di halaman sendiri berbanding ketika bertandang ke Stadium Likas pada perlawanan pertama minggu lalu.
Garrido menyedari tugas anak buahnya bukan mudah selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama, namun beliau percaya Sang Badak mempunyai peluang untuk melakar keputusan positif di halaman lawan.
Apa yang mustahak, katanya aspek komunikasi dan keserasian antara pemain perlu berada pada tahap yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka mampu mengawal perlawanan itu nanti.
“Sangat penting untuk kami konsisten, sehaluan dan mempunyai komunikasi yang baik di antara pemain sejak minit pertama bagi mengawal situasi yang tidak dapat dijangka dalam perlawanan seperti ini,” katanya.
Garrido menjangkakan Selangor akan tampil lebih agresif di laman sendiri, terutama kerana aksi itu menjadi penentu kepada peluang mereka untuk terus bersaing dalam Piala FA.
“Mereka bermain di laman sendiri, mereka adalah pasukan pilihan dan meneruskan saingan dalam Piala FA sangat penting buat mereka. Jadi, kita menjangkakan mereka akan cuba mendominasi permainan dan mencari gol awal,” katanya.
Sabah hadir ke aksi kedua itu selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama, namun turut dibolosi dua kali, sekali gus menjadikan aspek pertahanan antara perkara yang diberi perhatian oleh Garrido.
Bagaimanapun, beliau mengakui jadual padat ketika ini turut memerlukan pasukannya memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain.
“Kita bekerja untuk memperbaiki setiap aspek, tetapi jadual yang padat memaksa kita memberi keutamaan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain. Namun, pemain kita tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan ini,” katanya.
Dalam masa sama, Garrido tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan kesilapan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya perlu lebih bijak mengambil kesempatan apabila pihak lawan melakukan kesilapan.
Katanya, beberapa gol yang dilepaskan Sabah sebelum ini berpunca daripada tindakan individu pemain lawan yang sukar dijangka, namun masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak. Tiga daripada empat gol terakhir yang kita bolos datang daripada tindakan individu luar biasa pemain penyerang lawan.
“Memang ada situasi pada awal gerakan yang boleh kita elakkan, tetapi mungkin kita dihukum terlalu berat. Bagaimanapun, kita perlu menggunakan kesilapan lawan dengan lebih baik,” katanya.
Menjelang pertembungan penting itu, Garrido mahu pemainnya kekal bersatu dan percaya kepada kemampuan pasukan untuk mencipta keputusan yang diperlukan.
“Kita perlu sehaluan, menguruskan serangan dengan lebih baik, kekal yakin dan mengekalkan semangat ini. Paling penting, kita perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lebih daripada lawan,” katanya. – Info X