Search

Program Rebat Budi Madani Pinjaman YS diteruskan hingga 27 September

September 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah sekali lagi memberi peluang kepada semua peminjam pinjaman pengajian Yayasan Sabah untuk menikmati insentif rebat menarik hingga 30 peratus dan pengampunan CTOS melalui Program Rebat Budi Madani 2026 yang ditawarkan mulai 7 hingga 27 September ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata program itu sebagai penghargaan kepada peminjam yang komited dalam membuat pembayaran balik pinjaman pengajian, selain memupuk budaya pembayaran yang mampan.

Katanya, program kali ini juga sebagai susulan sambutan memberangsangkan dalam program sama pada Ogos lalu, dengan mengekalkan tawaran rebat yang menarik bagi menggalakkkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi mereka.

Jelasnya, pembayaran balik pinjaman pengajian sangat penting dalam menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.

“Pemberian kadar rebat yang tinggi dalam Program Rebat Budi Madani 2026 ini adalah sebagai tanda penghargaan Kumpulan Yayasan Sabah kepada peminjam yang aktif, konsisten dan berdedikasi mematuhi jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan.

“Di samping itu, program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) turut dilaksanakan bagi meringankan bebanan peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan dari senarai CTOS,” katanya.

Di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, katanya tiga kategori rebat ditawarkan bermula dengan Rebat 30% yang ditawarkan kepada peminjam kategori Aktif Bayar atau mereka yang membuat pembayaran secara konsisten dan berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka.

Gulam berkata, Rebat 25% pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar, yang berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, manakala, Rebat 20% ditawarkan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran.

Sementara itu, katanya bagi memudahkan peminjam bertanya lanjut dan memahami proses berkaitan program rebat dan pengampunan CTOS, Yayasan Sabah akan melaksanakan jelajah ke beberapa daerah di seluruh negeri untuk berjumpa secara bersemuka dengan peminjam yang berminat menyertai program berkenaan.

“Maklumat terperinci mengenai tarikh dan lokasi jelajah ini akan dimaklumkan melalui media sosial dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebagai alternatif, katanya peminjam juga boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah, di sini.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS, boleh diperolehi dengan melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088/ 014-3288868 / 016-8286125 / 010-9556977 / 010-2366967, atau emel di alamat [email protected]. – Info X