KOTA KINABALU: Provokasi ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan boleh menggugat keselamatan rentas sempadan negeri ini jika situasi semasa menjadi konflik yang panas dan tegang.
Pengerusi Kelab Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata aktiviti ketenteraan dua kuasa besar itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengancam kedaulatan negara, khususnya Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menggesa Wisma Putra segera mengadakan rundingan diplomatik dengan AS, China dan Filipina bagi memastikan perairan Laut Cina Selatan selamat untuk laluan perdagangan serantau.
ADUN Kuamut itu juga bimbang tindakan kerajaan Filipina bersama AS membangunkan kemudahan ketenteraan berskala besar di Pulau Balabac, selatan Filipina memberi kesan kepada Sabah berikutan kedudukannya yang hanya terletak 50 kilometer dari Pulau Banggi dan cuma mengambil masa 20 minit menaiki bot.
“Memandangkan operasi ketenteraan berkenaan sangat hampir dengan Sabah, maka kerajaan Malaysia wajar mengambil perhatian serius dari sudut keselamatan rakyat terutama di pantai utara Sabah.
“Kita bimbang kehadiran sejumlah besar tentera AS di Pulau Balabac berpotensi mencetuskan situasi di luar jangkaan jerana harus diingat, sehingga kini Filipina masih menuntut wilayah Sabah,” katanya.
Masiung berkata, aktiviti ketenteraan AS dan China di perairan berhampiran Borneo semakin memuncak, yang mana kedua-dua kuasa besar itu terus memperkukuhkan ketumbukan tentera dan aset pertahanan.
Mengulas lanjut isu itu, beliau bimbang kawasan utara Sabah terdedah kepada kemungkinan berlaku konflik ketenteraan berikutan kehadiran pusat tentera AS di selatan Filipina dan tidak menolak kemungkinan insiden kecil boleh bertukar menjadi tegang.
Masiung berkata, walaupun Malaysia dan Filipina kini mengekalkan hubungan dua hala serta diplomatik yang baik, namun Malaysia perlu berwaspada terhadap sebarang kemungkinan di luar jangkaan.
Sebelum ini, P9erdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan AS di Pulau Balabac dan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah. – Info X