KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memberi jaminan tidak akan membiarkan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang musnah dalam kebakaran sebelum ini daripada terabai.
Menterinya, Datuk Jafry Arifin, berkata kementeriannya melalui Majlis Warisan Sabah dan Jabatan Muzium negeri bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pemulihan bangunan warisan itu.
Katanya, kerjasama itu bagi memastikan kerja pemulihan bangunan berkenaan yang terletak di bawah pengurusan DBKK dilaksanakan dengan betul mengikut keperluan pemuliharaan warisan.
“Memandangkan Dewan Masyarakat itu adalah tapak warisan yang dilindungi, kerja pemulihannya tidak boleh dibuat seperti membaiki bangunan biasa.
“Semua kerja mesti mematuhi Enakmen Warisan Sabah 2017 dan asas pemuliharaan yang sesuai bagi melindungi senibina asal, integriti sejarah dan nilai warisannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, Jabatan Muzium Sabah sudah menasihatkan DBKK mengenai keperluan dokumentasi teknikal, skop kerja dan kaedah pemulihan bangunan berikutan kos pemulihannya ditentukan berdasarkan perkara itu.
“DBKK ketika ini dalam proses mendapatkan dana yang diperlukan bagi melaksanakan kerja pemulihan,” katanya.
Jafry berkata, kerajaan negeri memahami keprihatinan orang ramai terhadap nasib bangunan warisan itu dan menghargai minat mereka dalam melindungi antara mercu tanda bandar raya Kota Kinabalu.
“Keutamaan kita bukan semudah membaiki sebuah bangunan, tetapi untuk memulihkannya dengan betul, memelihara sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang.
“Pihak kementerian akan terus bekerja rapat dengan Majlis Warisan Sabah, Jabatan Muzium dan DBKK untuk menyelaras proses yang perlu dan memastikan kerja pemulihan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee mempersoalkan mengapa bangunan itu dibiarkan dalam keadaan yang rosak selepas setahun musnah akibat kebakaran.
Katanya, Majlis Warisan Sabah perlu bertindak membaik pulih bangunan itu bagi melindungi identitinya sebagai bangunan warisan yang menyimpan banyak sejarah. – Info X