Search

Empat maut dalam kemalangan kereta, lori

September 9, 2026

Info X Reporters

TELUPID: Empat maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori di Jalan Telupid-Sandakan, di sini, hari ini.

Identiti semua mangsa bagaimanapun belum diperolehi dengan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamaluddin, berkata pasukan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu dan menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak 93 kilometer (km) dari balai.

Katanya, keempat-empat mangsa dalam kereta Proton Saga dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Pemandu lori cuma mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk menerima rawatan.

“Tiada liputan telefon di lokasi kejadian dan maklumat semua mangsa belum diperolehi. Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi berkenaan. – Info X