TAMBUNAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa mengambil tindakan segera bagi membaiki pam air yang rosak sejak enam tahun lalu hingga menjejaskan sawah padi di Kampung Kiawayan dan sekitarnya.
Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P Paut, berkata kerosakan pam air itu menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke sawah, mengakibatkan tanaman padi terjejas, terutama ketika cuaca panas dan kering sekarang.
Katanya, masalah itu bukan saja menjejaskan pesawah di kampung berkenaan, malah turut membabitkan kawasan sawah di Kampung Masak dan Kampung Silat, dengan lebih 600 petani terjejas.
“Masalah ini sudah berlaku selama enam tahun dan terlalu lama untuk dibiarkan tanpa penyelesaian oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Kita dapat lihat sendiri keadaan sawah yang merekah dan kering akibat ketiadaan bekalan air hingga padipun musnah.
“Justeru, saya berharap pihak berwajib, khususnya JPS, mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti punca kerosakan pam, seterusnya memastikan sistem pengairan ini dapat berfungsi semula,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi di Kampung Kiawayan, di sini.

Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, kawasan sawah yang terjejas dianggarkan melebihi 200 ekar dan menjadi sumber pendapatan utama penduduk yang bergantung kepada hasil tanaman padi.
Katanya, beliau juga sudah menghubungi Pegawai JPS Tambunan dan dimaklumkan bahawa pegawai jurutera daerah akan turun padang bagi meninjau serta mengenal pasti masalah berkenaan.
“Saya berharap perkara ini tidak berhenti setakat tinjauan sahaja, sebaliknya tindakan susulan wajib diambil dengan segera kerana petani di sini tidak boleh terus menunggu.
“Sekiranya sawah tidak dapat diusahakan, mereka bukan sahaja kehilangan hasil tanaman, malah sumber pendapatan untuk menyara keluarga turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata, pesawah yang terjejas turut berharap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) dapat mengambil perhatian serta campur tangan dalam isu berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan penanaman padi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kiawayan yang juga salah seorang pesawah terjejas, Justin Itud, berkata penduduk sudah beberapa kali membuat laporan berhubung masalah sistem pengairan itu sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini pam berkenaan belum dibaiki, menyebabkan petani terpaksa bergantung kepada hujan untuk bekalan air ke sawah yang sudah tentu tidak mencukupi.
“Sudah banyak kali laporan dibuat sebelum ini. Sekarang keadaan semakin teruk kerana cuaca panas dan tiada hujan.
“Justeru kami harap perkara ini dapat perhatian serta tindakan segera diambil supaya pam dibaiki dan air dapat disalurkan semula ke sawah. Ini punca pendapatan kami sebagai petani.
“Sudah banyak aduan kami hantar dan memohon tindakan sepanjang tempoh itu namun sehingga hari ini, belum ada tindakan diambil untuk mengatasi masalah pengairan ini,” katanya.
Seorang pesawah dari Kampung Lalapakon, Harry Kimun, turut menyuarakan rayuan pesawah di kampungnya meminta supaya pihak berwajib segera mengambil langkah drastik bagi memulihkan sistem pengairan supaya penanaman dapat diteruskan mengikut jadual. – Info X