Search

Seludup diesel terbongkar, rampasan lebih RM2 juta

September 10, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah jeti, di sini, terbongkar dengan keseluruhan rampasan kapal kargo, lori tangki, diesel dan peralatan bernilai lebih RM2 juta, petang semalam.

Dalam operasi jam 3.55 petang itu, dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal sah.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dilakukan PPM Sandakan susulan maklumat orang awam sebelum pasukan menjalankan risikan di lokasi berkenaan.

Katanya, pasukan kemudian mengesan sebuah lori tangki sebelum pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke lori berkenaan.

“Pasukan merampas kira-kira 28,000 liter minyak diesel bernilai RM130,760, sebuah kapal kargo jenis besi dan lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter serta beberapa peralatan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal, kenderaan dan peralatan berkenaan dianggarkan RM2,082,760,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, katanya bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes mengikut akta sama, membabitkan 103 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM25.87 juta.

“Risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X