Search

Permohonan pengampunan Najib ditangguh, Agong perkenan bebaskan 65 banduan – BHEUU

September 11, 2026

BERNAMA

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, pada Jumaat.

Pada mesyuarat itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan, dengan semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda.

Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini bagi mengikuti perkembangan berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang dipercayai akan menyentuh mengenai permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada mesyuarat ke-61 pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau memfailkan rayuan pada 29 Dis 2025.

Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik USD1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil USD5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah. — BERNAMA