KOTA KINABALU: Pindaan perlembagaan akan dibuat bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ditambah ke satu nisbah baharu yang lebih tinggi berbanding sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu yang sudah dipersetujui jemaah menteri adalah keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya, di sini, hari ini.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diarah memulakan proses yang perlu dan memastikan jumlah kerusi Parlimen di Sabah serta Sarawak ditentukan mengikut nisbah baharu yang lebih besar.
“Perkara utama dalam mesyuarat hari ini adalah keputusan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih daripada sepertimana yang dijanjikan dalam MA63.
“Penambahan itu mesti melibatkan nisbah Sabah Sarawak itu lebih tinggi, tapi kena faham penambahan itu adalah tugas SPR.
“Maknanya, mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, namun penambahan dari Sabah dan Sarawak tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat (MTPMA63), di SICC, hari ini.
Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Ditanya sama ada nisbah baharu itu sama seperti yang ada pada 1963 ketika Singapura bersama Malaysia, Anwar berkata mekanisme nisbah baharu itu akan diputuskan kemudian.
“Tidak, pada 1963 ketika membabitkan Singapura, nisbahnya ialah satu pertiga. Jadi, sekarang kita akan lihat mekanismenya nanti, prinsipnya ialah mesti ada peningkatan kerusi yang akan meningkatkan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak.
“Itu yang kita persetujui, tapi perinciannya, mekanisme itu perlu dibincang dengan SPR dan semua negeri serta parti,” katanya.
Katanya, ia adalah keputusan penting yang dipersetujui lebih awal dalam Jemaah Menteri pada Rabu yang lalu.
Mengenai bila penambahan kerusi Parlimen kedua-dua negeri itu dapat direalisasikan, beliau berkata perkara itu terserah kepada SPR untuk memulakan langkah sepatutnya.
“Kita dan Kabinet sudah putuskan, saya sudah maklumkan kepada SPR dan mereka akan terus mulakan rundingan.
“Saya fikir kalau untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, saya tak pasti sempat atau tidak, sebab kena muafakat, kemudian prosesnya.
“Saya tidak mahu ganggu dari segi proses perlembagaan tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Ketika ini Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala 31 kerusi di Sarawak daripada 222 kerusi Parlimen seluruh negara.-Info X