Search

MA63 perlu dijadikan komitmen, naratif nasional – PM

September 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naratif nasional selepas sekian lama hanya dianggap sebagai isu Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, perkara itu dicadangkannya memandangkan ketika ini perbincangan isu berkenaan lebih bersifat sektoral dan dibincang setiap tahun di antara Persekutuan dengan kedua-dua negeri.

Tegasnya, jika dijadikan agenda nasional, sebarang perkara berkaitan kepentingan kedua-dua negeri tidak lagi dilihat sebagai satu pertimbangan khas untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya sudah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ia sangat penting sebab kalau tidak ini hanya jadi macam sektoral, tiap tahun kita kena bincang khas Sabah Sarawak.

“Tidak, ia adalah komitmen nasional, mengenai pembangunan, kestabilan, mengenai apa yang kita janji kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan Malaysia pada 1963. Itu harus dimeterai sebagai satu naratif nasional.

“Kita kena ajak rakyat Malaysia tidak bicara soal kaum dia sahaja ataupun parti dia sahaja atau kelompok dia, tetapi berbicara sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara.

“Saya sangat hargai, kita jelaskan betul-betul, ini adalah komitmen nasional, dasar nasional. Bila kita tambah umpamanya peruntukan ataupun 112D kepada Sarawak dan Sabah, umpamanya Sabah dalam konteks ini, di Semenanjung jangan difikirkan ini satu pertimbangan khas kepada Sarawak, tidak.

“Jadi naratif ini saya harap di Semenanjung pun terima dan Sabah Sarawak pun terima, dasar nasional, komitmen nasional dan naratif nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di SICC, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Terdahulu, Abang Johari berkata beliau menyokong pendekatan Perdana Menteri mengenai usaha menjadikan perkara MA63 sebagai agenda nasional.

“Kita nak menyelaraskan apa yang termaktub dalam perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai United Malaysia yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara pada keseluruhannya.

“Jadi saya rasa ini pendekatan yang agak praktikal. Saya juga mengucap terima kasih atas persetujuan untuk menentukan formula menang-menang di antara kita dengan persekutuan.

“Kalau negara kita baik, sudah tentu persekutuan dia baik. Kalau tak baik kita pun menerima hakikat supaya kestabilan kewangan negara ini akan stabil,” katanya.-Info X