Search

Sabah harap isu 40 peratus dapat disegerakan

September 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan dalam perlembagaan kepada negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di SICC, di sini, pada Jumaat.

“Untuk makluman juga, kita bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ada mohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

“Jadi kita ingin supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya pada sidang media bersama Anwar dan Abang Johari selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, sebagai langkah interim, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah segera pemberian.khas mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion.

Anwar berkata rundingan mengenai perkara itu 40 peratus juga akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal.

“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim. Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya.

Beliau berkata kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober sebelum jumlah RM1.5 bilion itu disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.

Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick. – Info X