Search

Anak ditahan disyaki bunuh ibu dengan senjata tajam

September 12, 2026

Info X Reporters

TAMBUNAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membunuh ibu kandungnya yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, petang tadi.

Mayat wanita berusia 56 tahun itu ditemukan kira-kira jam 2 petang sebelum polis melancarkan gerakan mengesan suspek berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek kemudian dikesan dan ditahan penduduk di sebuah sulap di Kampung Sukung.

“Penduduk kampung membawa suspek menggunakan kenderaan mereka ke Balai Polis Tambunan sebelum tangkapab dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

“Pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh kejadian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes itu. – Info X