KOTA KINABALU: Keputusan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengembalikan keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ia bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak, sebaliknya satu usaha untuk mengembalikan keseimbangan wakil di Parlimen yang pernah wujud sebelum ini.
“Ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen.
“Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, keseimbangan tersebut berubah. Pada pandangan saya, pembahagian kerusi Parlimen sepatutnya disusun semula ketika itu bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri-negeri Borneo.
Oleh itu, isu ini bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah soal mengembalikan satu keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Bendahari UMNO Sabah itu, berkata selepas lebih 60 tahun, sudah tiba masanya prinsip itu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah-langkah konkrit dan pelaksanaan.
Jelasnya, mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia, sebaliknya, akan memperkukuhkan lagi perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia.
Terdahulu, bekas ADUN Usukan itu mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Salleh berkata, ia adalah satu perkembangan yang positif dan penting.
“Saya juga menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya cadangan ini disusuli dengan tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat.
“Prinsipnya jelas, Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen, selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.
Siang tadi, Perdana Menteri berkata pindaan perlembagaan bakal dibuat bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ditambah ke satu nisbah baharu yang lebih tinggi berbanding sekarang.
Perkara itu yang sudah dipersetujui jemaah menteri sebelum ini, katanya adalah antara keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya, di sini, pada Jumaat. – Info X