Search

Dua lelaki ditahan disyaki curi kabel di Kampung Sugud

September 11, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Dua lelaki yang disyaki mencuri kabel di tepi jalan sekitar Kampung Sugud, di sini, ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek tempatan berusia 20 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi selepas kegiatan mereka dipercayai disedari penduduk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Penampang.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kedua-dua suspek sudah ditahan orang awam sebelum mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Polis turut merampas dua alat pemotong kabel dan segulung wayar kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan.

Beliau menghargai kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, namun menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri. – Info X