KOTA KINABALU: Pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung hak 40 peratus hasil Sabah wajar disokong seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira perbezaan politik.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata pendirian itu sekali lagi disuarakan Hajiji pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MMTPMA63) di SICC, semalam.
Katanya, ketegasan Hajiji dapat dilihat menerusi gesaannya supaya hak 40 peratus itu diselesaikan dan dilaksanakan segera tanpa kelewatan selanjutnya.
Sehubungan itu, Salleh berkata perkara berkenaan tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana sebagai Ketua Menteri, Hajiji mewakili Sabah dalam memperjuangkan hak berperlembagaan yang menjadi milik rakyat negeri ini.
“Hak itu sudah wujud. Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan. Tugas sekarang adalah untuk bersetuju mengenai formula dan melaksanakannya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Salleh berkata, jika jumlah penuh tidak dapat dibayar serta-merta, kedua-dua kerajaan perlu bersetuju mengenai apa yang boleh dilaksanakan sekarang serta mekanisme atau bentuk pembayaran.
Beliau berkata, RM1.5 bilion yang diberikan adalah Geran Khas interim dan bukannya penyelesaian muktamad terhadap hak 40 peratus Sabah.
“Oleh itu, ia tidak seharusnya menjejaskan hak berperlembagaan Sabah atau rundingan yang sedang berjalan mengenai formula dan jumlah sebenar,” katanya.
Mengenai tempoh yang telah berlalu, Salleh berkata isu ‘tahun-tahun yang hilang’ boleh dirundingkan secara berasingan tanpa melengahkan pelaksanaan untuk masa kini dan masa depan.
“Sabah sudah menunggu cukup lama. Mengenai 40 peratus, rakyat Sabah harus bersuara dengan satu suara. Pendirian Hajiji adalah pendirian Sabah,” katanya. – Info X