Search

Penunggang motosikal maut terbabas di Bulatan 360

September 12, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sapari Ladoni menerusi talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X