Search

Lelaki dipenjara 6 tahun selepas mengaku lakukan amang seksual

September 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Papar pada November tahun lalu.

Tertuduh berumur 23 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan ketika dihadapkan di mahkamah, semalam (Jumaat).

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu sebuah rumah di Kimanis, Papar pada kira-kira jam 1 pagi, sekitar November tahun lalu.

Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencium bibir dan memegang payudaranya bagi tujuan seksual.

Berikutan itu, tertuduh berdepan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Selepas selesai tahanan penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemantauan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X