TAMBUNAN: Pengumuman penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu diharap bukan sekadar gimik, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan sebenar.
Menyatakan harapan itu, penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P Paut, berkata pengumuman berkenaan adalah perkembangan yang sememangnya dinanti-nantikan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Katanya, selepas sekian lama perkara itu menjadi antara tuntutan berkaitan kedudukan kedua-dua wilayah dalam Persekutuan, baru sekarang kerajaan Pusat menyatakan persetujuan untuk menambah kerusi Parlimen yang diminta.
Jelasnya, penambahan kerusi Parlimen perlu dilihat berdasarkan sejarah pembentukan Malaysia serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut menjadi asas kepada kedudukan Sabah dan Sarawak dalam negara ini.
“Ini satu pengumuman yang kita tunggu-tunggu. Sebenarnya penambahan kerusi itu kalau dikaji dari sejarah MA63, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, kuota Singapura itu sepatutnya dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana satu pertiga daripada kerusi itu adalah untuk Sabah dan Sarawak, manakala satu pertiga lagi dipegang oleh Singapura,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Pertanian Pintar anjuran Sawit Kinabalu, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Victor berkata, selepas Singapura keluar dari Malaysia, isu pembahagian semula kerusi berkenaan sewajarnya diberi perhatian bagi memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Parlimen lebih mencerminkan sejarah pembentukan Malaysia.
Beliau menegaskan, tempoh lebih enam dekad menunggu perkembangan itu menunjukkan perkara berkenaan bukan tuntutan baharu, sebaliknya isu yang sudah lama menjadi perhatian rakyat di Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama katanya, rakyat Sabah tidak mahu pengumuman berkenaan berakhir sebagai sekadar kenyataan politik tanpa susulan yang jelas.
“Sudah sampai masanya setelah lebih kurang 61 tahun, kita menunggu saat ini. Kita berharap jangan hanya janji, kita mahu ia dilaksanakan.
“Itulah yang rakyat Sabah tunggu-tunggu dan jangan lupa juga tuntutan 40 peratus kita.
“Kita juga tidak mahu ini sebagai satu gimik dan berharap PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menunaikan janjinya kerana bukan saja kita mahu, semua rakyat Sabah mahu kerana perkara itu adal dalam MA63,” katanya.
Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen itu dapat memastikan suara Sabah dan Sarawak terus mendapat tempat sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan. – Info X