Search

Guru maut Hilux rempuh tujuh kenderaan

September 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang guru maut selepas Toyota Hilux dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan berhampiran lampu isyarat jejambat Jalan Kolam, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Arizal Wahid, 43, difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dari arah Bukit Padang menuju ke Damai.

Mangsa adalah Penolong Kanan Pendidikan Khas di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan tiba-tiba hilang kawalan ketika tiba di lampu isyarat terbabit.

“Hilux itu melanggar sebuah kenderaan Ford dan motosikal sebelum merempuh bahagian belakang Nissan Navara yang berada di laluan sama.

“Kenderaan mangsa kemudian terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar empat kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna lain,” katanya. – Info X