Search

JBPM Sabah rekod 1,551 kes kebakaran terbuka

September 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan sebanyak 1,551 kes kebakaran terbuka di negeri ini bagi tempoh 1 Mac hingga 13 September lalu.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, suku kedua tahun ini iaitu April hingga Jun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 655 kes atau 42.2 peratus.

Katanya, suku ketiga merekodkan 470 kes atau 30.3 peratus, manakala 426 kes bersamaan 27.5 peratus dicatatkan pada suku pertama.

“Daripada keseluruhan kes, kebakaran belukar dan lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,012 kes atau 65.2 peratus, diikuti kebakaran hutan sebanyak 381 kes atau 24.6 peratus.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika cuaca kering kerana api boleh merebak dengan pantas dan sukar dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Pisar berkata, keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

“Masyarakat perlu memainkan peranan dengan mengelakkan pembakaran terbuka, segera memadamkan sebarang punca api dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Menurutnya, JBPM Sabah akan terus memperkukuh pemantauan kawasan panas, kesiapsiagaan operasi serta usaha pendidikan dan kesedaran awam bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka di seluruh negeri. – Info X