KOTA KINABALU: Sebanyak 300 pelajar institusi pengajian tinggi akan terlibat dalam persembahan koir sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah pada 16 Sept ini sebagai usaha menyemai penghayatan terhadap sejarah dan semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata penglibatan golongan muda menjadi antara kelainan sambutan tahun ini.
“Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tahunan atau cuti umum tetapi yang lebih penting ialah penghayatan, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kami serapkan kalau boleh kepada generasi muda agar mereka memahami tentang sejarah dan erti pengisian kemerdekaan untuk kami bawa mereka bersama-sama, kerana mereka adalah pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata demikian pada sidang media sempena sambutan itu di sini hari ini.
Jafry berkata sambutan tahun ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin.
Beliau berkata sambutan itu dijangka bermula pada 8 malam dengan kehadiran lebih 3,000 orang manakala orang ramai boleh mula hadir seawal 6 petang.
Sambutan berkenaan turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan dan artis tempatan di bawah penyelarasan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Jafry berkata kemudahan parkir di SICC akan disediakan secara percuma kepada pengunjung dan beliau turut mengajak semua rakyat Sabah hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia.– BERNAMA