KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu ke lokasi baharu di luar pusat bandar raya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu kertas kerja berhubung cadangan itu.
“Kertas kerja itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya ditemui selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi tapak baharu pasar itu di Alam Mesra dan dekat Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, Pejabat Datuk Bandar Kota Kinabalu juga akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas pasar itu dipindahkan.

“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal.
“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji melawat tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadang sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau diberi taklimat mengenai tapak berkenaan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Sabin Samitah.
Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar berkenaan ialah pasar kering, pasar basah, pusat produk kebudayaan tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.

Beliau turut melawat tapak kedua yang terletak di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas, di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.
Turut hadir pada tinjauan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun. – Info X