KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua Bahagian UMNO Sepang, Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang disifatkan menghina institusi gereja Katolik.
Pengarah Komunikasi Strategik Warisan, Christopher Masudal, berkata beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada Isnin (14 September 2026) kerana kesal dan tidak berpuas hati terhadap tindakan pemimpin UMNO Selangor itu.
“Saya kesal dan tidak berpuas hati apabila seorang pemimpin politik yang sepatutnya memahami kepentingan menghormati agama dan kepercayaan yang berbeza memilih untuk membuat satu perumpamaan yang saya anggap amat tidak wajar dan menghina terhadap institusi gereja Katolik.
“Gereja Katolik bukan hanya terdiri daripada paderi dan biarawati. Di seluruh negara, terdapat puluhan ribu umat awam yang dikenali sebagai ‘lay apostolate’ yang terlibat secara langsung dalam kehidupan dan pengurusan institusi gereja Katolik melalui pelbagai bentuk.
“Oleh itu, apabila institusi gereja Katolik dijadikan bahan perumpamaan yang tidak wajar, perkara tersebut bukan hanya memenyentuh hati dua atau tiga orang paderi atau biarawati sahaja tetapi ribuan umat yang menjadi sebahagian daripada kehidupan dan pelayanan gereja di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau bertanya kepada Noorazli mengenai kesalahan yang telah dilakukan institusi gereja Katolik terhadap beliau sehingga institusi itu dijadikan bahan perumpamaan di hadapan ribuan ahli UMNO.
Berdasarkan video ucapan itu, katanya ia menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, sama ada ucapan itu sememangnya telah dirancang dan diketahui terlebih dahulu, termasuk rujukannya kepada agama Kristian Katolik.
“Kebebasan beragama adalah salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, setiap pemimpin politik mempunyai tanggungjawab untuk menjaga sensitiviti agama serta mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Oleh yang demikian, saya meminta agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan bebas untuk menentukan sama ada ucapan tersebut mempunyai unsur yang melanggar mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan 3R,” katanya.
Christopher turut bertanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama ada ucapan Noorazli mencerminkan pandangan parti itu dan apa tindakan oleh kepimpinan tertinggi parti itu terhadap Noorazli.
Katanya, laporan polis yang dibuatnya bukan untuk mengapi-apikan sentimen agama atau kaum, sebaliknya satu usaha untuk memastikan kebebasan beragama, rasa hormat antara penganut agama dan keharmonian masyarakat Malaysia terus dipelihara.
“Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti. Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mempermainkan atau memperlekehkan agama orang lain.
“Kita boleh berbeza pendapat dalam politik, tetapi kita mesti tetap menghormati agama dan kepercayaan sesama kita,” katanya. – Info X