Search

Sabah Moto Day: Lihat juga positifnya, jangan hanya menghentam – aktivis masyarakat

September 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan pihak tertentu, termasuk pembangkang menghentam penganjuran program Sabah Moto Day (SMD) yang berlangsung pada akhir minggu lalu disifatkan sebagai keterlaluan tanpa melihat sisi baiknya kepada rakyat, khususnya golongan muda.

Aktivis masyarakat, Suhana Ong, berkata kritikan perlu dibuat secara matang dan rasional, bukan secara semborono dengan menyalahkan penganjur semata-mata dan lebih teruk lagi apabila mengaitkannya dengan kerajaan negeri serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya berpandangan bahawa pihak pengkiritik perlu lebih matang dan rasional dalam menilai penganjuran Sabah Motor Day (SMD), khususnya apabila mengaitkan program berkenaan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Pengerusi Skuad Anti Dadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan.

“Jangan kerana mahu mencari kelemahan, maka segala usaha dan inisiatif yang membawa manfaat kepada masyarakat turut dihentam tanpa melihat konteks serta tujuan sebenar program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataannya sebagai maklum balas terhadap komen pelbagai pihak yang menghentam penganjuran SMD dengan pelbagai kritikan terhadap penganjur dan kerajaan negeri.

Tegasnya, program seperti SMD seharusnya dilihat dari sudut yang lebih positif, terutama dalam menyediakan platform kepada golongan belia dan komuniti permotoran untuk berkumpul, berinteraksi serta menjalankan aktiviti secara lebih tersusun dan terkawal.

Katanya, adalah tidak adil jika hanya kekurangan atau kelemahan tertentu dijadikan ukuran keseluruhan program, sedangkan manfaatnya kepada komuniti, khususnya anak muda, turut perlu diberikan perhatian.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kritikan politik tidak seharusnya dilakukan secara semborono dengan menjadikan setiap program sebagai ruang untuk menghentam Ketua Menteri atau mana-mana individu yang terlibat.

“Pihak pembangkang perlu membezakan antara kritikan yang membina dengan kritikan yang semata-mata mahu mencari salah. Janganlah melihat sesuatu program hanya dengan ‘mata lalat’, sentiasa mencari kekurangan dan kesalahan sehingga gagal melihat nilai baik, manfaat serta peluang penambahbaikan yang boleh dibawa kepada rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menyokong usaha Datuk Mazlan dan Skuad Anti Dadah Sabah dalam membawa mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada masyarakat.

Jelasnya, penglibatan komuniti permotoran dan golongan belia dalam aktiviti positif seperti SMD juga boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk menyampaikan mesej kesedaran sosial, keselamatan jalan raya serta gaya hidup sihat dan bebas dadah.

Katanya, pendekatan mendekati anak muda melalui program komuniti adalah lebih baik berbanding hanya menunggu masalah berlaku sebelum mengambil tindakan.

“Sebagai aktivis masyarakat, saya menyeru semua pihak, termasuk pembangkang, supaya menilai sesuatu program secara adil dan menyeluruh.

“Jika terdapat kelemahan, tegurlah secara membina dan kemukakan cadangan penambahbaikan, bukannya menghentam secara membuta tuli.

“Sabah memerlukan budaya politik yang matang, di mana kejayaan dan usaha yang baik diberikan pengiktirafan, manakala kelemahan pula diperbaiki bersama demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya. – Info X