KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan kru memecut bot pancung ke kawasan cetek sebelum terjun dan melarikan diri ke daratan membongkar kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan barat daya Pulau Mengalum, semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu disedari bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan berkala di kawasan berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kru terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari bot mereka dihampiri untuk pemeriksaan.
“Bot itu memecut laju ke kawasan cetek sebelum semua kru terjun dan melarikan diri ke daratan.
“Pemeriksaan kemudian menemukan peralatan menyelam serta kira-kira 80 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian awal terhadap hasil tangkapan berkenaan menunjukkan keputusan positif penggunaan bahan letupan.
“Bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan bernilai keseluruhan kira-kira RM45,000 disita sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.
Mohd Khairulanuar berkata, penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin selain memusnahkan habitat dan sumber perikanan.
“Orang awam diminta supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.
“Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut,” katanya. – Info X