Search

Lesap RM12,400 terpedaya projek generator tidak wujud

September 16, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Seorang individu kerugian RM12,400 selepas terpedaya dengan tawaran projek pembekalan generator set yang tidak wujud daripada individu menyamar sebagai kakitangan Jabatan Bekalan Air Labuan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, mangsa menerima tawaran pembekalan berkenaan melalui panggilan telefon.

Menurut kenyataan itu, suspek turut mengemukakan surat pesanan tempatan (LPO) dan memberikan maklumat sebuah syarikat bagi urusan pembelian generator berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat transaksi ke akaun bank yang diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Penipuan itu terbongkar selepas mangsa mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Bekalan Air Labuan yang memaklumkan tiada tender atau projek pembekalan generator set berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran projek yang meragukan. – Info X