KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat Malaysia untuk terus menjaga keamanan dan menjadikan Hari Malaysia sebagai titik tolak untuk bekerja lebih kuat agar kemajuan dan kemakmuran akan terus dikecapi bersama.
Katanya, di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum terus diberi
keutamaan sejajar amalan rakyatnya yang tidak menjadikan perbezaan tradisi dan budaya sebagai halangan untuk terus hidup aman dan harmoni.
Beliau berkata, Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September diingati sebagai detik bersejarah pembentukan sebuah negara berdaulat yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai wilayah, bangsa, budaya dan agama.
“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan Malaysia dan menyatukan kita sebagai sebuah keluarga. Marilah kita terus memupuk semangat muafakat, saling menghormati dan bekerjasama demi sebuah Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera,” katanya pada sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Hajiji meluahkan harapan agar Malaysia dan Sabah khususnya akan terus aman serta makmur, untuk membawa negara ke mercu kejayaan dalam segala bidang.
“Marilah kita meraikan sambutan Hari Malaysia ini dengan penuh semangat patriotisme agar keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama akan terus terpelihara dan berkekalan,” katanya.
Sementara itu, pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu, Hajiji menegaskan segala hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia terutama dari segi MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penting membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.

Oleh itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
“Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya pada sambutan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini.
Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar bahawa negara dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat.
“Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya, dan kepercayaan.
“Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian.
“Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan. Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu,” katanya.
Dalam konteks itu, katanya generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan.
Hajiji berkata generasi muda perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan dan ruang untuk mencipta dan pada masa sama, mereka harus mengenali sejarah, menghargai warisan dan memahami bahawa kemerdekaan serta pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan kedaulatan.
Ketua Menteri berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, membawa satu mesej yang jelas iaitu aspirasi kerajaan untuk memastikan hasil kemajuan, pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil, inklusif dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal.

“Dalam hal ini jelas bahawa kemajuan tidak memadai jika hanya kelihatan pada angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan mesti dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.
“Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi.
“Namun kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu. Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan, perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita.
“Kita mahu Sabah terus maju dalam Malaysia yang sejahtera dan makmur. Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan, termasuklah memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X