SANDAKAN: Cubaan menyeludup 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dari negara jiran tumpas dalam dua serbuan di Sungai Seguntur, di sini, membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM4.89 juta.
Operasi Bersepadu Khas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah jeti tidak berdaftar kira-kira jam 1.30 pagi, 15 September lalu, hasil maklumat dan risikan.

Katanya, pemeriksaan menemukan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Pasukan turut menyita sebuah lori tiga tan, bot laju berukuran 9.1 meter panjang dan tiga meter lebar serta tiga enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda.
“Nilai keseluruhan rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, maklumat susulan hasil tangkapan itu membawa pasukan ke sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di sungai sama.
“Pemeriksaan bot berkenaan menemukan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.
“Bot yang dilengkapi tiga enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda itu bersama muatannya disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.326 juta,” katanya.

Ahmad Amri berkata, kedua-dua bot dan semua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berasingan sehari sebelumnya, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

“Serbuan itu menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai RM478,506, sekali gus menjadikan keseluruhan rampasan dalam ketiga-tiga serbuan berjumlah RM5.36 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Untuk rekod, sejak Januari hingga 15 September lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes mengikut Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan RM8.38 juta serta 40 tangkapan. – Info X