TAWAU: Perselisihan faham dua lelaki di hadapan sebuah pasar raya membawa kepada penemuan senjata tajam yang disembunyikan di pinggang seorang warga asing di Jalan Dunlop, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan anggota Rondaan BIT Balai Polis Tawau kira-kira jam 1.30 petang.
Katanya, anggota bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai perselisihan faham membabitkan dua lelaki.
“Pemeriksaan terhadap lelaki pertama tidak menemukan sebarang barang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap lelaki kedua menemukan senjata tajam menyerupai pisau atau parang pendek berserta sarung kayu yang disembunyikan di bahagian belakang pinggangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, polis merampas senjata tajam berukuran kira-kira 19 sentimeter bersama sarungnya, selain pakaian yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki atau membawa senjata berbahaya tanpa alasan sah.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” katanya. – Info X