Search

Isuzu lancar empat model baharu GIGA Euro 5, tingkat kecekapan pengangkutan

September 17, 2026

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB) memperluaskan rangkaian trak tugas berat GIGA menerusi pelancaran empat model baharu penggerak utama (prime mover) berstandard Euro 5, yang menawarkan prestasi tinggi, kecekapan bahan api dan pelepasan lebih bersih.

Pelancaran pada 14 September lalu itu membabitkan model EK5 410T (MT), EK5 410T (AMT), EW5 410 (MT) dan EW5 460 (AMT), sekali gus memenuhi permintaan pasaran terhadap trak yang lebih kukuh dan cekap bagi menyokong operasi pengangkutan muatan berat.

Rangkaian GIGA 2026 berkenaan ditawarkan dalam pilihan transmisi manual (MT) dan transmisi manual automatik (AMT), bagi memenuhi keperluan pengendali armada dalam landskap industri logistik yang berdepan peningkatan kos operasi, persaingan pasaran dan peraturan kawalan pencemaran udara.

Ketua Pegawai Eksekutif IMSB, Tomoyuki Yamaguchi, berkata pelancaran berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu pelanggan menangani cabaran operasi menerusi penyelesaian pengangkutan yang berprestasi tinggi dan lebih mampan.

“Industri logistik mewakili satu aspek utama dalam ekonomi, namun ia menghadapi pelbagai cabaran baharu seperti peningkatan kos operasi, persaingan pasaran dan peraturan kawalan pencemaran udara.

“Pelancaran trak penggerak utama GIGA EURO 5 baharu dan berprestasi tinggi ini merupakan respons kami untuk membantu para pelanggan mengatasi cabaran-cabaran tersebut demi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Isuzu sebagai pengeluar trak global komited untuk terus mencipta nilai baharu dalam sektor pengangkutan menerusi penyelesaian inovatif yang menyokong perniagaan, memperkayakan masyarakat dan memelihara alam sekitar.

Enjin 11 liter, teknologi SCR

Semua model penggerak utama GIGA baharu dilengkapi enjin diesel Blue Power GH11 berstandard pelepasan Euro 5, yang mempunyai kapasiti 11 liter dan enam silinder.

Enjin tugas berat berkenaan direka untuk menghasilkan kuasa tinggi, kecekapan bahan api serta tork dalam julat revolusi yang luas, selain disokong tangki bahan api berkapasiti 405 liter.

Model transmisi manual (MT) dilengkapi kotak gear sembilan kelajuan, manakala varian transmisi manual automatik (AMT) menggunakan kotak gear 12 kelajuan.

Antara ciri utama rangkaian berkenaan ialah penggunaan teknologi Selective Catalytic Reduction System (SCR), yang membantu mengurangkan pelepasan nitrogen oksida dan menyumbang kepada perlindungan alam sekitar.

Teknologi itu turut menyokong kecekapan bahan api, kos pemilikan jangka panjang yang lebih rendah serta keperluan penyelenggaraan yang dikatakan lebih rendah.

Cecair ekzos diesel AdBlue yang digunakan bersama teknologi SCR juga disediakan di pusat servis Isuzu di seluruh negara.

Ciri keselamatan dipertingkatkan

Dari aspek keselamatan, trak penggerak utama Isuzu GIGA baharu dilengkapi beg udara SRS dan tali pinggang keledar dengan pretensioner bagi memberikan perlindungan tambahan kepada pemandu.

Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) pula berfungsi bersama untuk mengagihkan daya brek secara automatik kepada semua roda, berdasarkan berat muatan, keadaan jalan dan kelajuan kenderaan.

Bagi model EK5 410T (AMT) dan EW5 460 (AMT), ciri Kawalan Kestabilan Kenderaan Elektronik (EVSC) disediakan sebagai sebahagian daripada sistem keselamatan aktif.

Sistem itu memantau input stereng dan kelajuan roda bagi membantu mengelakkan kejadian terguling, tergelincir serta kehilangan kawalan, termasuk dengan mengurangkan kuasa enjin secara automatik dan mengaktifkan brek individu untuk menstabilkan kenderaan ketika pemanduan kritikal atau di jalan licin.

Kabin utamakan keselesaan pemandu

Selain prestasi dan keselamatan, reka bentuk kabin GIGA baharu memberi tumpuan kepada keselesaan pemandu menerusi ruang yang luas serta susun atur papan pemuka yang memudahkan pengendalian.

Kelompok instrumen menyediakan maklumat masa nyata bagi membantu pemandu membuat keputusan berkaitan keselamatan dan kecekapan pemanduan, manakala reka bentuknya membolehkan maklumat difahami dengan lebih mudah dan pantas.

Trak itu turut dilengkapi sistem navigasi 2DIN AV dengan skrin sentuh tujuh inci serta pelbagai ciri multimedia, termasuk Apple CarPlay, Android Auto melalui sambungan berwayar dan tanpa wayar, Bluetooth bebas tangan, port USB dan radio FM.

Keselesaan pemandu dipertingkatkan menerusi sistem suspensi kabin berasaskan udara di bahagian bawah, yang menggunakan beg udara termampat di bahagian belakang kabin untuk menyerap getaran casis dan impak jalan.

Ciri berkenaan membantu mengurangkan keletihan pemandu, selain meningkatkan keselesaan dan kestabilan ketika perjalanan.

Trak penggerak utama GIGA baharu kini dibuka untuk tempahan di 46 cawangan pengedar sah Isuzu di seluruh Malaysia.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi Isuzu di www.isuzu.net.my atau dengan menghubungi talian 1-300-88-1133 bagi mendapatkan maklumat berkaitan penyelesaian trak yang ditawarkan.-Info X