KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan digesa bekerjasama dengan struktur kepimipinan akar umbi bagi menyebar maklumat dan membantu rakyat mendapatkan manfaat BUDI Diesel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata langkah itu sejajar penambahbaikan dilakukan terhadap program BUDI Diesel seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia di Kuching pada Rabu.
Mustapha berkata, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di Sabah dan rangkaian Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarawak boleh digunakan untuk tujuan itu.
“Jaringan kepimpinan akar umbi ini berada paling dekat dengan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat, mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan serta membimbing rakyat dalam proses semakan kelayakan, permohonan, rayuan dan pemindahan kelayakan BUDI Diesel.
“Kita tidak seharusnya bergantung kepada portal dalam talian semata-mata. Realiti geografi Sabah dan Sarawak, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman, memerlukan pendekatan yang lebih dekat dan bersifat hands-on,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ahli Parlimen Sepanggar itu turut mencadangkan supaya program seperti Kaunter Bergerak BUDI Diesel diperluaskan dengan kerjasama UPPM di Sabah, KMKK dan JKKK di Sarawak, Pejabat Daerah, KPDN serta agensi berkaitan.
Pendekatan itu, katanya penting supaya tiada rakyat yang tercicir hanya kerana kurang mendapat maklumat, tidak memahami prosedur permohonan atau menghadapi kekangan akses digital.
Katanya, dasar yang baik hanya akan mencapai matlamatnya apabila rakyat di peringkat akar umbi dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
“Sebagaimana yang telah diusahakan selama ini, maklum balas berkaitan pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak akan sentiasa saya bawakan ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri agar perkara ini terus mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan penambahbaikan program BUDI Diesel dengan memperluaskan kelayakan penerima, khususnya bagi Sabah dan Sarawak berkuatkuasa serta merta pada 16 September 2026.
Mustapha berkata, penambahbaikan itu amat signifikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mengambil kira realiti penggunaan kenderaan di kedua-dua wilayah, termasuk amalan kenderaan ‘sambung bayar’, pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah serta kebergantungan yang lebih tinggi terhadap kenderaan jenis jip dan pikap.
“Di bawah ketetapan baharu, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada warganegara Malaysia yang layak dan menjadi pengguna sebenar kenderaan berkenaan.
“Pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian juga boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan itu adalah bukti Perdana Menteri mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak. – Info X