Search

Wujudkan Skim Rebat Elektrik bersasar untuk golongan berpendapatan rendah – Masiung

September 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Skim Rebat Elektrik secara bersasar bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan tarif elektrik ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, berkata rebat itu wajar diberikan secara bersasar selari dengan kejayaan pelaksanaan BUDI Diesel yang terbukti berkesan.

“Kita berharap cadangan ini dapat
diterjemahkan menjelang mesyuarat khas, hari ini, bagi meneliti langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BBC berharap skim rebat itu boleh diterima pakai bagi memastikan subsidi elektrik sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis.

Masiung berkata, jika mekanisme itu dipersetujui, pengguna domestik terutama penerima STR, eKasih serta kategori B40 dan M40 diberikan rebat automatik antara RM40 hingga RM100 sebulan mengikut penggunaan.

Rebat itu katanya, hendaklah dikreditkan terus ke dalam bil elektrik atau secara tunai ke akaun penerima sama seperti pelaksanaan BUDI Diesel bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

ADUN Kuamut itu mahu kerajaan mengkaji semula subsidi pukal yang diperkenalkan sebelum ini yang turut dinikmati golongan T20, sektor industri dan premis mewah yang menggunakan elektrik melebihi 600kWh sebulan.

“Tidak adil apabila seorang nelayan yang hanya menggunakan satu kipas dan satu lampu rumah terpaksa membayar pada kadar yang sama dengan sebuah kondominium mewah yang menggunakan enam penyaman udara.

“Subsidi elektrik wajar melindungi rakyat kurang berkemampuan, bukan turut dinikmati sama rata dengan golongan gaya hidup mewah.

“Sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, membantu golongan kurang berkamampuan, manakalal golongan kaya, industri dan permis mewah bayar pada kadar biasa,” katanya.

Masiung berharap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Sabah Electricity dapat menterjemahkan cadangan itu dalam mesyuarat khas langkah mitigasi elektrik bersama Perdana Menteri pada hari ini. – Info X