Search

Percikan air lopak cetus pergaduhan dua lelaki

September 17, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Gara-gara terkena percikan air lopak, seorang lelaki Pakistan dan lelaki tempatan terbabit dalam pergaduhan di Kampung Kubambangan, Paitan, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas kenderaan dipandu lelaki tempatan berkenaan melalui lopak di tepi jalan hingga menyebabkan air terpercik mengenai lelaki Pakistan yang sedang berjalan kaki.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, lelaki Pakistan terbabit kemudian menjerit ke arah pemandu berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Orang ramai yang berada di lokasi kemudian meleraikan pergaduhan itu.

“Bagaimanapun, lelaki tempatan terbabit mendakwa dia ditumbuk oleh lelaki Pakistan berkenaan ketika pertengkaran berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.41 pagi tadi selepas rakaman pergaduhan berkenaan tular di media sosial.

Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu siasatan polis dan ketenteraman awam.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mat Kimon di talian 013-9946265 bagi membantu siasatan. – Info X