PENAMPANG: Seorang pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 10.40 pagi itu berlaku ketika mangsa lelaki sedang menjalankan kerja pembinaan di aras berkenaan sebelum terjatuh ke tingkat bawah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati keluarga mangsa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-8385335 atau IPD Penampang di talian 088-712222,” katanya. – Info X