PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki warga asing menjadikan kawasan hadapan sebuah rumah sebagai lokasi menyimpan dadah terbongkar selepas dia dicekup polis, petang semalam.
Penahanannya membawa kepada rampasan 20 paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 56.91 gram, manakala seorang lagi lelaki turut ditahan dalam operasi berasingan, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek pertama berusia 33 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kira-kira jam 2.50 petang.
Katanya, syabu yang ditemukan dianggarkan bernilai RM8,500, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Dalam operasi kedua kira-kira jam 12.10 tengah malam, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan bersama empat paket plastik berisi bahan disyaki syabu seberat 5.23 gram bernilai RM900.
“Secara keseluruhan, polis merampas 62.14 gram syabu dianggarkan bernilai RM9,400 menerusi kedua-dua operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, manakala kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya. – Info X