Search

Hormati keputusan pengampunan, tumpu kestabilan politik – Mustapha

September 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menggesa semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Persekutuan dan menumpukan kestabilan politik dengan meneruskan dokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ketua PKR negeri, berkata perkara itu perlu diberikan tumpuan dalam usaha meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi, di sebalik perkembangan politik semasa, khususnya pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi rakyat Borneo, kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan agar fokus Kerajaan Madani memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum selesai serta menambah baik peruntukan kewangan demi pembangunan Sabah dan Sarawak perlu terus dijayakan,” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menggesa semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Jelasnya, perkara itu kerana ia sudah dibuat mengikut kerangka Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong .

“Penghormatan terhadap Perlembagaan tidak bermaksud kita menggadaikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah terutamanya berkaitan salah laku kuasa dan rasuah hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat atau pengaruh,” katanya.

Katanya, seperti ditegaskan Peguam Negara, pengampunan bersyarat Najib hanya terpakai dalam kes SRC sahaja, manakala kes-kes lain akan dibicarakan seadil-adilnya berdasarkan lunas undang-undang.

“Malaysia mesti kekal sebagai negara hukum yang menjunjung integriti dan kebebasan institusi.

“Keyakinan terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara adalah antara asas penting untuk memperkukuh kepercayaan rakyat serta mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.

“Justeru, seluruh kekuatan harus ditumpukan kepada kestabilan politik dengan meneruskan dokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi,” katanya. – Info X